Masha-Allah Inilah 5 Tips Mudah Diamalkan Untuk Menambah Rezeki.

Rezeki? Satu perkataan yang menarik minat setiap orang. Yalah, siapa yang tidak mahu dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, baik dari segi kekayaan harta benda mahupun kesihatan dan juga keluarga. Namun sedar atau tidak, hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui rezeki setiap manusia seperti mana yang telah ditetapkan-Nya sejak azali lagi.

Ramai antara kita yang semestinya pernah atau sedang mengalami masalah kewangan atau kesempitan dalam hidup, terutamanya pada era globalisasi masa kini yang mana kos sara hidup semakin meningkat.

Satu hal yang kita semua ketahui adalah hanya orang yang benar-benar berniat untuk memperbaiki diri dan istiqomah (bersungguh-sungguh) di jalan-Nya yang pasti dipermudah dalam mendapatkan rezeki yang halal lagi baik.

Terdapat beberapa amalan yang bolah kita amalkan dalam kehidupan harian kita bagi memudahkan lagi kemasukan rezeki dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Oleh itu, artikel ini adalah bertujuan untuk berkongsi cara-cara menambahkan rezeki menurut panduan yang digariskan oleh syarak.

Namun, apa yang paling penting adalah kita yakin dengan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T untuk kita.

 

  1. Mengamalkan Solat Sunat Dhuha

Solat Sunat Dhuha ini sering dikaitkan sebagai magnet rezeki kerana kebanyakan daripada ahli perniagaan Islam, mengamalkannya di dalam kehidupan harian mereka sehinggalah menjadi sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan.

Apa yang istimewanya untuk melaksanakan salat sunat Dhuha ini? Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya;

” Engkau membersihkan dahak yang ada dalam Masjid adalah sedekah, engkau menyingkirkan sesuatu yang mengganggu dari jalan adalah sedekah. Maka jika engkau tidak menemukannya (sedekah sebanyak itu) maka dua rakaat dhuha sudah mencukupimu” . (HR Abu Dawud).

Dengan usaha yang berterusan dan istiqomah dalam mencari rezeki yang halal, Insha-Allah segala yang kita usahakan akan membuahkan hasil dengan izin Allah S.W.T.

 

  1. Menjalin silaturahim

Ibnu Hajar dalam Al-Fath menjelaskan, “Silaturahmi dimaksudkan sebagai kerabat, iaitu yang mempunyai hubungan nasab, baik saling mewarisi ataupun tidak, begitu pula masih ada hubungan mahram ataupun tidak.”
Secara mudahnya silaturrahim dapat difahami sebagai menjalin hubungan baik dengan orang lain baik keluarga terdekat, jiran tetangga mahupun dengan rakan-rakan untuk tujuan memupuk persaudaraan sesama manusia.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Siapa yang suka dilapangkan rizkinya dan dipanjangkan umurnya hendaklah dia menyambung silaturahim.” (HR. Bukhari no. 5985 dan Muslim no. 2557).

Insha-Allah dengan memupuk tali silaturrahim seperti yang dianjurkan oleh Islam, maka rezeki kita akan dapat bertambah lagi.

 

  1. Membaca Doa

Hanya Allah tempat kita berdoa dan bermohon untuk meminta keampunan, serta memohon kebaikan dunia dan akhirat agar dilancarkan segala rezeki. Rasulullah SAW bersabda;

” Rabb kita Tabaraka Wa Taala turun setiap malam ke langit dunia hingga tersisa sepertiga malam terakhir, lalu Dia berkata ‘Siapa yang berdoa kepadaKu, aku akan memperkenankan doanya. Siapa yang meminta kepadaKu, pasti akan Kuberi. Dan siapa yang meminta ampun kepadaKu, pasti akan aku ampuni’”. (HR Bukhari dan Muslim).

Berdoa dan momohon kepada pencipta adalah sifat semulajadi manusia yang mana kita ketahui bahawa, hanya dengan doalah segala permintaan dan hajat yang diingini didengari oleh Allah S.W.T.

Insha-Allah dengan doa yang bersungguh-sungguh, rezeki akan datang kepada kita sama ada cepat ataupun lambat sebagaimana yang telah direncanakan-Nya berdasarkan apa yang baik untuk diri kita.

 

  1. Biasakan Untuk Bersedekah

Sehingga kini, masih terdapat segelintir orang yang menyangka bahawa jika kita memberi sedikit daripada harta kita kepada orang lain maka hartanya akan berkurangan.

Namun sebaliknya pula yang dianjurkan oleh Islam yang mana, Islam menganjurkan umatnya untuk bersedekah semata-mata kerana Allah S.W.T. kerana bukan sahaja akan melancarkan lagi perjalanan rezeki yang kita perolehi malah dapat membersihkan rezeki yang diperolehi.

Allah Ta’ala berfirman,

 

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

 

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya).” Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah Pemberi rezki yang sebaik-baiknya.” (QS. Saba’: 39)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

 

Maksudnya: “Sedekah tidaklah mengurangi harta.” (HR. Muslim, no. 2588).

Harus diingat bahawa, rezeki yang dimiliki adalah pinjaman daripada Allah semata-mata dan mungkin ada sebahagian daripada harta yang kita miliki aalah bahagian dari orang lain, maka adalah penting untuk kita bersedekah bagi membersihkan harta yang diperoleh, di samping untuk mendapat keberkatan dan redha daripada Allah S.W.T.

 

Marilah sama-sama kita bersedekah dengan hati yang ikhlas tanpa mengaharapkan sebarang balasan daripada manusia dan hanya mengharapkan redha Allah semata-mata, insha-Allah rezeki kita akan diberkati dan bertambah luas lagi.

 5. Bertaqwalah Kepada Allah S.W.T

Allah Ta’ala berfirman,

 

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا , وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

 

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan Mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. dan Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (QS. Ath-Thalaq: 2-3)

Ibnu Taimiyah rahimahullah memberikan kita penjelasan menarik mengenai pengertian taqwa. Beliau rahimahullah berkata,

“Taqwa adalah seseorang itu beramal ketaatan pada Allah atas cahaya (petunjuk) dari Allah kerana mengharap rahmat-Nya, dan ia meninggalkan maksiat kerana cahaya (petunjuk) dari Allah kerana takut akan seksaan-Nya. Tidaklah seseorang dikatakan mendekatkan  diri kepada Allah melainkan dengan menjalankan kewajiban yang Allah telah tetapkan dan menunaikan hal-hal yang sunnah.”

Oleh itu, hendaklah kita bertaqwa hanya semata-mata kepada Allah S.W.T dengan mengharapkan balasan kebaikan daripada-Nya dengan cara melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Insha-Allah dengan bertaqwa kepada Allah S.W.T, maka rezeki kita akan dipermudhkan lagi oleh-Nya.

Sama-samalah kita beramal dengan apa yang baik, dan menjauhkan diri daripada perkara mungkar yang mendatangkan keburukan kepada diri kita.

 

Sumber Video: https://www.youtube.com/watch?v=mut1TvOQ6KI

 

 

 

 

 

 

 

Add Comment