gtag('js', new Date()); gtag('config', 'UA-106589772-1');
loading...

Kuala Lumpur: Mengedarkan dadah secara percuma. Itu senjata halus digunakan Israel dalam mempengaruhi pemikiran anak muda di Palestin.

Pendedahan itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Al Quds, Kesatuan Ulama Sedunia Syeikh Dr Mraweh Mousa Nassar yang berkata, Israel bukan sekadar menggunakan kekerasan, malah turut mengumpan dadah bagi memusnahkan generasi Palestin secara halus.

“Rakyat Palestin mendapat tekanan dahsyat daripada tentera Israel setiap hari. Mereka yang duduk di Baitulmaqdis dikenakan cukai tinggi dan tidak dibenarkan masuk sepenuhnya dalam Masjidilaqsa.

“Sekarang, orang Israel dan Yahudi sedang cuba merosakkan pemuda-pemudi Palestin dengan memberi dadah percuma namun penduduk Palestin tidak duduk diam sebaliknya giat melakukan usaha bagi memulihkan semangat anak muda.

“Banyak program masih berjalan antaranya fokus kepada pemulihan dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran dan kaunseling halaqah ilmu bagi mentarbiah pemuda-pemudi bagi mengembalikan semula kesedaran mereka mengenai matlamat meneruskan perjuangan asal kami,” katanya kepada Harian Metro dalam bahasa Arab yang diterjemahkan Perunding Aman Palestin Berhad Muhammad Sabrin Muda.

Dr Mraweh ditemui ketika penganjuran Simposium Al Aqsa bertajuk Kebenaran Yang Belum Terungkai di Masjid Wilayah di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut.

Bagaimanapun, Dr Mraweh mempunyai sudut pandangan berbeza mengenai keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkannya mempunyai hikmah tersendiri.

“Negara kami ditindas tiada berkesudahan dengan macam-macam tekanan. Namun saya melihat pengumuman Trump itu satu benda positif yang mengembalikan semula isu Palestin ini kepada perkara asal dan kami tidak berjuang keseorangan lagi.

“Kita lihat kebangkitan umat Islam seluruh dunia yang menyatakan kemarahan kepada keputusan Trump ini satu petanda baik bertepatan dengan matlamat kita mahu isu Palestin ini diselesaikan bukan hanya penduduk Palestin saja tetapi umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, Awang Suffian berkata, adalah wajar Malaysia mencontohi tindakan berani Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang menyatakan pendirian mahu membuka Kedutaan Turki di Baitulmaqdis Timur.

“Pendapat saya, sewajarnya tindakan berani itu diikuti negara Islam lain termasuk Malaysia bagi menyokong penubuhan negara Palestin dan sebenarnya Baitulmaqdis adalah ibu negara Palestin yang abadi.

“Kita harus faham, membuka kedutaan di sana tidak bermakna kita mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel tetapi kembali kepada asal kita hanya mengiktiraf negara Palestin sebagai sebuah negara merdeka mengikut sejarah asal,” katanya.

Sumber: Harian Metro

loading...

Add Comment